Memang sudah menjadi tabiat Zaid Ibrahim – panas baran dan gopoh. Apabila saingannya, Azmin Ali tampil dengan sokongan majoriti ahli-ahli parlimen untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, Zaid tidak dapat menyembunyikan kehampaannya. Dia terus mengeluarkan kenyataan media yang menyindir langkah penyokong Azmin itu sebagai didalangi oleh Anwar Ibrahim.
Kerana kegopohan dan panas barannya itulah beliau meletak jawatan menteri dan keluar dari Umno. Ketika dia baran, Zaid tidak kisah apa implikasi tindakannya. Lihat saja gelagatnya ketika dalam Umno. Apabila diserang oleh lawannya ketika berebut jawatan di Bahagian, Zaid sanggup menyingsing lengan dan bersedia bergaduh.
Sebab itu, apabila Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Badawi tidak mahu mendengar nasihatnya, Zaid jadi berang dan meletak jawatan. Apa yang berlaku bukan soal prinsip. Bukan soal tidak setuju penggunaan ISA, ia dalah kerana kehendaknya tidak didengar dan diikuti. Ia adalah bayangan sikap keras kepala Zaid. Orang lain mesti dengar cakapnya. Sikap ini ditunjukkan sekali lagi ketika bertanding pilihanraya kecil Hulu Selangor April lalu.
Zaid mahu kempen dijalankan ikut nalurinya. Secara terbuka dia menolak sokongan jentera parti. Tidak professional dan tidak berkesan, katanya. Maka diimportlah penyokong professional yang dibayar dari luar untuk menggerakkan jentera kempennya. Zaid membelakangi jentera parti dan pasukan bertindak yang dipimpin oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Bila kalah, Zaid berang sekali lagi. Kali ini amarahnya ditujukan kepada jentera parti yang didakwanya cuba sabotaj kempennya.
Dalam pemilihan parti PKR kali ini, baran Zaid muncul lagi. Zaid yang didorong sifat marahnya mencabar dalam bentuk usul supaya Anwar turun gelanggang dan bertanding jawatan presiden. Secara sinis Zaid, melalui portal berita Free Malaysia Today yang menjadi jurucakapnya mengesyorkan ahli memilih gandingan Anwar Ibrahim (Presiden) dan Zaid Ibrahim (Timbalan Presiden).
Strategi ini adalah cabaran kepada Anwar. Jika bersetuju, dia terpaksa terima Zaid sebagai Timbalannya. Ini bererti menolak Azmin Ali. Jika tidak bersetuju Zaid akan berkokok mengatakan memang Anwar tidak berkecuali dan menyokong Azmin. Apapun tafsirannya, beliau bukan sahaja memerli Anwar, malah memperlekeh prinsip politik Anwar.
Didorong barannya, Zaid mahu melondehkan politik Anwar. Malah didorong oleh barannya juga, Zaid telah tergelincir sedikit daripada strategi kempen yang telah diatur oleh pembiaya kewangan dan pengarah strateginya – The Black Rajah.
Strategi yang telah diatur untuknya ialah, jangan serang Anwar. Malah, “kunci” Anwar dengan mengambil Nurul Izzah, anak Anwar sebagai “running mate” untuk kononnya bawa perubahan dalam parti. Sebab itu, Black Rajah mengatur lawatan Nurul Izzah ke Sabah dan London untuk memberi gambaran Zaid tidak memuushi Anwar. Dan, Anwar pula tidak akan bertindak balas menyerang Zaid, kerana Nurul Izzah berada dalam team Zaid.
Namun begitulah Zaid. Panas baran. Dengan membuat syor team Anwar-Zaid ini, tokoh yang Umno sendiri tidak mahu ini, telah melondehkan hasratnya yang sebenar. Dia mahu jadi Timbalan Presiden kerana amat faham dan yakin pada pengurusan kehakiman Negara ini. Zaid tahu, biar apa sekalipun, Anwar akan tetap dihukum penjara. Jika itu berlaku, tidak sukar beliau “mengambil alih” pimpinan parti; tidak kira presiden ketika itu adalah Anwar ataupun Wan Azizah.
Zaid mahu jadi presiden. Bila itu berlaku, mudah baginya menjadikan PKR cagaran perundingannya balik kepada tauke politik asalnya – Umno. Dengan Umno Zaid masih belum reda marahnya. Dia mahu ajar Umno yang telah menganiayainya ketika bertanding di peringkat bahagian hingga tidak berpeluang mendapat tempat dalam barisan pimpinan kanan parti itu.
PKR adalah singgahan baginya. Dalam perancangan Zaid dan pasukan strateginya, sekalipun gagal dalam percubaan kali ini, mereka telah mengatur gerakan alternatif. GERAKAN. Rundingan sudah berjalan dan cuma menanti keputusan pemilihan PKR kali ini.
No comments:
Post a Comment