Saturday, October 9, 2010

Zaid Ibrahim : Tidak dapat tanduk, telinga dipulas

Dalam bahagian kedua wawancara eksklusif dengan Malaysiakini hari ini (28 Sept), Zaid Ibrahim terus menyerangParti Keadilan Rakyat sebagai  parti yang berpura-pura menampilkan diri sebagai  progresif, sebenarnya tidak.
Zaid juga mendakwa pemimpin Cabang dipaksa untuk mencalonkan orang tertentu bagi pemilihan peringkat nasional November depan.
Beliau juga mendakwa beliau sanggup melepaskan jawatan yang tinggi dalam Umno semata-mata untuk membawa perubahan dalam politik Negara.

Zaid juga menyalahkan pimpinan PKR atas kekalahannya pada Pilihanraya Kecil Hulu Selangor walaupun mendakwa beliau sendiri telah bekerja keras.
Segala cemuhan dan serangan ini dilakukan oleh Zaid atas dakwaan beliau seorang berprinsip, mahu menegakkan kebenaran dan tidak lari dari tanggungjawab.
JIka benar  itu yang diperjuangkan oleh Zahid, beliau tentunya tidak bermasalah menjawab beberapa persoalan asas berikut:
1.       Mengenai Pemimpin Cabang ditekan untuk mencalonkan pemimpin tertentu dan menolak beliau – Apakah tidak benar Zaid mempunyai dua orang utama – Datuk Soh Chee Wen dan Nelson Fernandez yang bergerak di Sabah, Sarawak dan negeri-negeri seperti Pahang untuk mengadakan perbincangan sulit bagi memenangkan Zaid?  Rasanya tidak perlu dihuraikan (buat masa ini) apa yang diucapkan oleh Soh Chee Wend an Nelson kepada Ketua-Ketua Cabang pada perjumpaan ini.  Adakah ini yang dimaksudkan Zaid sebagai menjalankan kempennya secara terbuka dan tertib? Apakah tidak benar apabila menyedari beliau jauh ketinggalan dalam pencalonan berbanding Azmin Ali. Zaid, Soh Chee Wen dan Nelson memperhebatkan serangan dan kecaman terhadap PKR, Anwar dan Azmin dalam usaha untuk mencemar kredibiliti pemilihan PKR dan parti itu umumnya?  Ini dilakukan menerusi Free Malaysia Today (yang dibiayai oleh Soh Chee Wen) malah Mingguan Malaysia dan penerbitan risalah berbentuk surat layang serta surat khabar khusus untuk mencerca Anwar dan pimpinan PKR. Inikah cara terhormat yang dimaksudkan oleh Zaid?

2.       Mengenai Pilihanraya Kecil Hulu Selangor – Apakah tidak benar Zaid menggunakan wang ringgit Soh Chee Wen untuk mengupah pasukan komunikasinya sendiri kerana merasakan pasukan PKR di peringkat negeri dan nasional “tak cukup pandai” untuk mengendalikan kempen itu?  Hasilnya mesej dari PKR pada pilihanraya kecil itu berbelah bagi dan bertindih, sekali gus member i kelebihan kepada BN. Apakah tidak benar Zaid amat lemah untuk mengendalikan kempen-kempennya sendiri apabila gagal hadir pada ceramah, berjumpa dengan pengundi malah hampir langsung tidak kelihatan pada hari mengundi?  “Saya letih,nak rihat,” ujar beliau kepada wartawan apabila ditanya mengenai ketidak hadirannya untuk memberi semangat kepada pekerja-pekerja parti dan pengundi pada hari mengundi.  Kenapa menyalahkan pihak lain? Menepuk air di dulang terpercik di muka sendiri!


3.        Mengenai pengorbanannya menyertai PKR : Sejak menganggotai  PKR tidak sampai  setahun lalu, Zaid tidak pernah melepaskan peluang untuk mencanang pengorbanannya dalam melepaskan kerusi selesa dalam jemaah menteri dan Umno untuk bertandang ke parti pembangkang.  Hakikatnya semua orang tahu : jika tidak berundur secara  terhormat, Zaid dipecat dari Umno. Justeru beliau cuba “memerah” sebanyak modal politik yang boleh dengan bertindak keluar terlebih dahulu. Ini dilakukan semata-mata bagi membolehkan beliau mendabik dada kelak( dan itu memang dilakukan hampir setiap hari sekarang). Bagi Zaid tidak ada apa-apa kelebihan untuk terus bersama Umno. Beliau telah mengaut segala kekayaan untuk berbelas tahun dan akibat ditolak oleh pimpinan Umno, peluang menambah laba peribadinya amat tipis. Umno pula semakin tidak relevan kepada pengundi, maka Zaid memilih parti lain untuk melebarkan jangka hayat politiknya. PKR menjadi kuda tunggangan Zaid untuk menghembus nafas baru dalam jangka hayat politik beliau.

4.       Jika PKR bukan parti progresif – kenapa PKR sanggup melaksanakan pembaharuan seperti sistem pemilihan satu ahli satu undi? Bukankah lebih senang meneruskan sahaja cara tradisi memilih pemimpin, kerana pengalaman Umno menunjukkan lebih senang mengawal Ketua Cabang dan ahli jawatankuasanya berbanding seluruh keanggotaan Cabang itu?  Jika Anwar dan Azmin mahu berkuasa, tidakkah lebih mudah untuk meneruskan sahaja apa yang sudah menjadi kelaziman? Tidak ada keperluan memperkenalkan sesuatu yang baru, yang bisa diperlekeh dan dicantas oleh Umno-BN serta media kawalan mereka, sebagaimana yang berlaku sekarang.  Dan mereka berbuat demikian tanpa menduga sama sekali mereka akan mendapat kerjasama penuh daripada Zaid dan konco-konconya. JIka PKR bukan parti progresif, apa motif  ia untuk memperuntukan 30 peratus jawatan kepada wanita? Kenapa generasi muda digalakkan untuk tampil dan mengambil bahagian dalam pemilihan PKR kali ini? Bukankah untuk membina barisan pemimpin yang seiring dengan peredaran masa? Ini hanya sebahagain contoh bahawa PKR bukanlah seburuk atau sekolot yang difikirkan oleh Zaid. Apakah PKR silap langkah atau tidak  memandang ke depan apabila melantik Zaid menanggotai biro politik dan seterusnya Pengerusi Wilayah Persekutuan selain memberi beliau  tugas-tugas untuk menyelaraskan pembentukan Pakatan Rakyat sebagai sebuah entiti politik?  Bukankah semua tanggungjawab ini dibuat bertujuan membentuk sebuah parti yang lebih progresif dan dinamis?  Apakah PKR tiba-tiba berhenti menjadi progresif di mata Zaid, apabila beliau gagal mendapat jumlah pencalonan yang diinginkan? Apakah  Anwar dan Azmin hanya menjadi diktator  apabila Cabang-cabang mula memberi  pencalonan kepada orang lain dan bukan Zaid?  Kenapa hanya selepas setahun, baru Zaid terpanggil  untuk membela  kuasa presiden? Anehnya, Zaid berbuat demikian apabila beliau semakin ketinggalan dari segi jumlah pencalonan!
Zaid tentunya mempunyai tanggungjawab untuk menjawab semua persoalan ini. Masalahnya ialah sama ada beliau bersedia untuk “walk the talk” atau pun mengotakan kata-katanya. Pada masa ini, seperti rekodnya yang lampau, Zaid adalah lebih kepada retorik dan bukan pengisian terhadap apa yang dilafazkan beliau. Jika tidak, tentunya Zaid tidak bersekongkol dengan  Datuk Soh Chee Wen yang mempunyai rekod jenayah dan Nelson Fernandez untuk membiayai kempen pemilihannya sebagai  Timbalan Presiden.
Apabilan kempen itu terkandas dan pencalonan tidak masuk mencurah-curah, meskipun banyak wang-ringgit dibelanjakan, Zaid tidak berfikir dua kali untuk ke hulu-hilir, menyerang Anwar dan kepimpinan PKR, termasuk melabelkan Syed Husin Ali sebagai nyanyuk dan merepek.
Zaid turut memberikan wawancara eksklusif kepada akhbar Mingguan Malaysia yang banyak menfitnah bukan sahaja PKR, tetapi juga PAS dan DAP, semata-mata untuk mengejar kedudukan dan kuasa dalam PKR.
Adakah  Zaid  boleh dipercayai untuk memperjuangkan kepentingan parti, membela kebenaran walaupun ditimpa seribu satu cubaan?Rekod Zaid setakat ini, untuk mereka yang benar-benar arif dengan perwatakan beliau, hanya menzahirkan hakikat bahawa beliau  masih jauh ketinggalan untuk bercakap mengenai pengorbanan dan membentuk amalan politik baru di Negara ini. Tindak-tanduknya menunjukkan beliau masih belum  keluar dari kepompong Umno dengan menabur fitnah apabila gagal mendapatkan sesuatu yang dihajati. 

No comments:

Post a Comment