Zaid sepatutnya tidak bingkas marah atau buat-buat marah. Sebagaimana beliau berkata polis harus menyiasat dakwaan Rahimi itu (Mungkin benar, mungkin tidak,kata Zaid) Zaid sepatutnya ikhlas memberitahu wartawan semalam bahawa :
1. Pengurus dana kempen Zaid, seorang jutawan bernama Datuk Soh Chee Weng dan pengurus media Zaid, Nelson Fernandez telah “menjaga” Rahimi sekian lama kerana Rahimi dianggap saksi penting dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar.
Keterangan Rahimi seperti yang dibuat dalam akuan bersumpahnya penting untuk menunjukkan hubung kait Perdana Menteri Najib Razak dan Rosmah Mansor dalam konspirasi menjatuhkan Anwar Ibrahim.
2. Setelah Soh Chee Wen dan Nelson membuat perisytiharan terbuka, bahawa mereka tidak lagi sehaluan dengan Anwar, mereka bersekongkol untuk mengurus dan membiayai kempen Zaid. Soh memperuntukan hampir RM300,000 sebulan untuk membiayai Free Malaysia Today dan sebuah akhbar bahasa Melayu untuk menyebarkan mesej Zaid, di samping membidas dan mengkritik Anwar, Azmin dan kepimpinan PKR lain. Nelson juga ditugaskan untuk menyebarkan dakyah kononnya tuduhan-tuduhan mahkamah yang dihadapi dahulu dan sekarang oleh Anwar adalah benar.
Apabila Zaid tidak mendapat jumlah pencalonan yang disasarkan (beliau mahu 70 tetapi cuma dapat 38) Soh dan Nelson memperhebatkan gerakan mengecam Anwar dan Azmin sebagai kekangan kepada menjadikan PKR lebih dinamis. Mereka memberi gambaran bahawa puteri Reformasi Nurul Izzah ‘benci’ kepada Azmin dan menyokong kem Zaid.
Apabila cubaan ini juga tidak memberi kesan, maka Soh Chee Wen dan Nelson mengeluarkan satu lagi “senjata” yang ada pada mereka -- Rahimi Osman. Rahimi yang lama menerima habuan dari Soh Chee Wen, tiba-tiba muncul dengan berpakaian kot dan pasukan peguamnya sendiri, menafikan kenyataan bersumpah yang dibuatnya dua tahun lalu mengenai Najib dan Rosmah.
Beliau mendakwa ditekan oleh orang-orang Anwar. Nasib baik ada rakaman video dan kenyataan Rahimi sendiri kepada polis untuk membukitkan Rahimi menipu. Hakikatnya adalah juga Soh Chee Wen dan Nelson bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan Rahimi tetapi kemudian memperalatkan beliau untuk menfitnah Anwar, demi kempen pemilihan Zaid.
Jika Zaid mengangkat diri sebagai seorang yang ikhlas, bertanggungjawab, amanah (dan beliau sentiasa berbuat demikian) beliau perlu memperjelaskan hubung kait antara Soh Chee Wen dan Nelson yang menjadi tonggak kempen beliau dan Rahimi. Itu sahaja. Beliau tidak perlu melatah dan sekali lagi merajuk kononnya difitnah tetapi pada masa sama menyembunyikan fakta-fakta asas dalam kes Rahimi.
Sebelum ini, Zaid juga mempunyai peluang emas untuk bersikap jujur mengenai isu dalang di sebalik FMT. Namun sekali lagi, beliau hanya menafikan beliau memiliki FMT dan menyembunyikan fakta FMT dibiayai oleh Soh Chee Wen dan portal itu menerima arahan-arahan secara langsung daripada Nelson Fernandez.
Zaid tidak harus memikirkan akar umbi boleh terpedaya dengan sikap berpura-pura beliau. Cubaan memberi gambaran kononnya Zaid mangsa fitnah, dan hanya mahu berkhidmat kepada parti telah berulang kali dibuktikan sebagai helah seorang ahli politik yang rakus kuasa.
Sidang akhbar oleh Zaid sebelum ini menzahirkan seorang ahli politik yang mahu mengambil alih PKR, dan sanggup mengheret nama Nurul Izzah dan ibunya selaku presiden parti dalam komplot jahatnya.
No comments:
Post a Comment