Tuesday, December 28, 2010

Menjawab Persoalan Sumpah Dan Qazaf Dalam Kes Fitnah 2

Pembunuhan karektor peribadi adalah agenda utama para penguasa angkuh tatkala berdepan dengan suatu kuasa atau individu yang mampu menggugat kekuasaan mereka. Agenda perubahan yang dilaungkan oleh mereka yang mahukan pembaharuan sering dilabel sebagai pengkhianat sebagai jalan untuk mengalih sekaligus membunuh suara keramat tersebut dari terus didengar oleh rakyat.

Malaysia juga tidak terlepas dari bencana itu, selama 53 tahun merdeka, rakyat masih dibelenggu dengan pelbagai mitos dan propaganda sejarah.Teknik ini amat popular disebut sebagai cara “membonzaikan” pemikiran rakyat agar terus bergantung dengan pemerintah selamanya. Rakyat disuruh berterima kasih kepada Kerajaan dalam semua aspek kehidupan mereka. Menentang atau berselisih pendapat dengan Kerajaan bermakna individu itu telahpun dianggap pengkhianat,penderhaka dan banyak lagi gelaran antagonis yang dilabelkan keatas kelompok atau individu itu. Dengan cara ini rakyat hampir tidak terfikir bahawa “Kerajaan” itu adalah mereka, pembentukan Kerajaan itu hasil dari tangan-tangan mereka yang membuang undi pada setiap 5 tahun.Ini bermakna Kerajaan itu haruslah berterima kasih kepada rakyat terbanyak dan bukan sebaliknya.
Dalam soal berkaitan hal ehwal perundangan (Hukum) Islam juga tidak terlepas dari permainan para pengampu dan pendokong penguasa zalim. Seolah telah menjadi lumrah di Malaysia apabila sesuatu perkara atau masalah yang berkait dengan Hukum, ianya hanya akan diterima jika fatwa itu dikeluarkan oleh mereka yang sedang berkhidmat di jabatan-jabatan Kerajaan tanpa bahas. Jika ada Ulama yang kebetulan tidak bernaung di Jabatan-jabatan Kerajaan mengeluarkan pandangan yang berbeda ianya akan dipandang enteng bahkan ada sejarah yang mencatatkan ulama-ulama ini akan dihumban dan dilabel dengan pelbagai nama yang buruk. Para ulama dikala ini hanya dinilai melalui pangkat dan darjat serta ketinggian jabatannya dan bukan melalui pandangan serta ketinggian ilmunya.
Bukti “membonzaikan” fikiran rakyat dewasa ini,boleh dirujuk didalam isu fitnah terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim. Beberapa Ulama Muktabar telah menyatakan pendirian mereka bahawa tidak perlu Bersumpah didepan para penzalim dan kes tersebut harus dirujuk dibawah Hukum “Qazaf!”.Malangnya segala tuntutan dan peringatan para ulama tersebut cuba dipendamkan oleh para penguasa angkuh berserta para pendokong kezaliman itu. Sifat itu jelas menyamai para jahilliyah dimana mereka enggan menerima kebenaran dan terus berusaha menutupinya tatkala kebenaran itu mampu menggugat kekuasaan mereka semua.
Makanya,diatas sifat tanggungjawab, saya menitipkam kembali peringatan dan pandangan para ulama tersebut dalam menangani isu fitnah ini. Diharap ianya mampu meleraikan kekeliruan yang membelenggu fikiran anda semua. Pohon dibahaskan dengan cara berhemah sesuai dengan sifat bangsa yang merdeka menurut islam.Inshallah.
——-
Fatwa Dr Taha Jabir al-’Ulwani mengenai fitnah terhadap Anwar Ibrahim
Soalan
Telah berlaku satu isu yang menggemparkan banyak pihak di Malaysia baru-baru ini, berhubung mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dituduh terlibat dengan perlakuan liwat, pihak berkuasa Malaysia berusaha untuk memanggil kedua-dua individu yang menuduh dan dituduh agar melakukan angkat sumpah untuk membuktikan pihak yang benar dan salah.
Apa pandangan Islam berhubung tindakan angkat sumpah berkenaan, apakah pihak yang dituduh perlu berbuat demikian bagi membersihkan dirinya daripada fitnah atau tuduhan itu seperti sumpahan orang yang terlibat dalam kes pembunuhan?
Jawapan Dr Taha Jabir al-’Ulwani:
Menurut Imam Ibnu al-Qaiyim al-Jauziyah dalam kitabnya at-Turuq al-Hukmiyyah dan beberapa pandangan ulama, mereka menolak dakwaan atau tuduhan yang datang daripada seorang yang dilihat tidak berlaku adil, khususnya daripada setiap tindakan, cara hidup terhadap orang yang mempunyai kedudukan baik dalam masyarakat, di mana dakwaan seumpama itu disifatkan sebagai ‘Qazaf’ dengan membawa empat orang saksi, ia bersandarkan kepada ayat 4, Surah an-Nur maksudnya:
4. “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik;
Firman Allah lagi menerusi ayat 11-19, Surah an-Nur maksudnya:
“11. Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh siksa yang besar (di dunia dan di akhirat).
Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.
Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab siksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu; –
Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.
Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: “Tidaklah layak bagi Kami memperkatakan hal ini! Maha suci Engkau (Ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli Rumah Rasulullah)! ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan”.
Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab siksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).”
Sesungguhnya sejarah gerakan Athisme dan Komunisme di dunia Arab secara khusus melatih perkaderan di peringkat akar umbi untuk menonjolkan akhlak yang songsang yang dilemparkan terhadap pimpinan ahli agama Islam yang komited dengannya, ia adalah cara untuk memburukkan nama baik dan imej mereka kepada umum (kerana mahu meraih kepentingan tertentu) agar umum tidak lagi percaya dan memberi sokongan kepada ahli-ahli agama, inilah yang pernah dilakukan oleh pengikut Komunis di Iraq satu ketika dahulu di kalangan parti Ba�ath (Kebangsaan Arab).
Justeru, kita amat rasa sedih apa yang sedang berlaku di Malaysia sekarang ini di mana para pemimpin kerajaan bertindak serupa dengan apa yang pernah berlaku di Iraq, mereka lakukan itu adalah semata-mata untuk kepentingan politik kotor mereka dan menyekat kemaraan pengaruh lawan dengan apa sahaja cara sekali pun walaupun melibatkan harga diri seseorang.
Mereka ini bukanlah pemimpin kerajaan yang baik yang boleh menjaga kebaikan dan kemaslahatan negara, tetapi untuk diri mereka semata-mata, tapi bagaimanapun tindakan mereka itu akan dibalas, kalau pun tidak pada diri mereka, mungkin isteri serta anak-anak mereka.
Apa yang umum hingga di peringkat global mengetahui, bahawa Saudara Anwar Ibrahim sejak masa mudanya dilantik sebagai ketua gerakan belia di Malaysia (ABIM), pernah mengurus kira-kira 25 buah sekolah beraliran agama khusus buat remaja lelaki dan perempuan (sekolah alternatif) di seluruh tanahair, tidak kedengaran pada usia remajanya atau ketika memimpin gerakan belia, sesuatu yang menjatuhkan harga diri atau maruahnya dengan tindakan yang menyalahi ajaran agama Islam. Jika pada usia begitu beliau disenangi, dipercayai dan dihormati sebagai seorang pemimpin yang baik, bagaiman mungkin pada usia yang mencecah 60 akan terlibat dengan perlakuan kaum Lut?.
Beliau sekarang ini terdedah kepada pelbagai ancaman, konspirasi, provokasi, bagi mengekalkan amalan politik kotor sekali gus mengajak manusia seluruhnya untuk menentang Allah SWT.
Isu akuan bersumpah sebenarnya tidak dibahaskan panjang lebar oleh kalangan fuqaha� melainkan pada keadaan bila wujudnya pembunuhan antara dua kampung hingga tidak dapat dikenal pasti siapa pembunuh sebenar, maka menurut sebahagian mereka: Akuan bersumpah hendaklah dilakukan oleh 50 orang ahli setiap kampung bagi membersihkan diri daripada sebarang tuduhan, tetapi ia bukan dalam isu yang sedang dibincangkan iaitu �Qazaf�.
Ini kerana apa yang sedang disaksikan ialah isu antara seorang penuduh fasiq lagi zalim tidak diterima kesaksiaannya dan seorang yang teraniaya dan bersih daripada tuduhan tetapi tidak diberi haknya untuk membebaskan diri daripadanya.
Isu ini serupa apa yang pernah berlaku kepada pemimpin gerakan Islam Iraq al-marhum Syeikh Muhammad Mahmud as-Sowaf dan Syeikh Abdul Aziz al-Badri yang dilemparkan oleh pengikut Komunis dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan hingga kedua-dua mereka tidaK dapat membela diri untuk membersihkan nama baik dan maruah.
Isu Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang pernah cemerlang dalam kepimpinannya ketika menerajui Kementerian Belia dan Sukan dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno beberapa tahun, tidak kedengaran suara-suara sumbang daripada golongan remaja, belia bersamanya dahulu menyebut tentang perlakuan sumbang beliau, tetapi bagaimana sejak akhir-akhir ini terdapat kecenderungan pihak tertentu dengan rasa tidak malu dan takut kepada Allah melemparkan tuduhan negatif itu.
Saya menyeru pihak terbabit secara jujur, bertakwalah kamu kepada Allah, takutkan akan Dia Yang Maha Bertindak Balas ke atas hamba-hambaNya di akhirat, ingatlah ketegasan Allah dalam al-Quran : Sesungguhnnya hari tersebut (kiamat) tidak akan memberi manfaat harta dan anak-pinak, melainkan mereka yang datang menemui Allah dengan hati yang selamat (dari sebarang penyakit hati yang merbahaya).
Secara peribadi selaku seorang muslim, harapan dan seruan saya kepada Kerajaan Malaysia, agar bertakwa kepada Allah dalam mengurus negara dan rakyat, khususnya orang Melayu/Islam, berakhlaklah dengan nilai akhlak Islam yang murni, dengan tidak melebihkan politik daripada akhlak, jangan bertindak sesuatu yang boleh melucutkan harga diri seseorang atau rakyat hilang keyakinan para pemimpin yang memerintah negara sekarang ini, kerana setiap sesuatu yang zalim itu adalah jalan kegelapan, yang rosak itu akan membawa kepada neraka yang membakar.
Kita bermohon kepada Allah agar Dia memelihara negara dan rakyat di bawah naungan-Nya. – mr_
====
Hukum Qazaf
Syaikh Daud Abdullah al-Fatani menyebut dalam kitab Hidayatu al-Muta’allim[1]: ketika mengulas tentang perlaksanaan hukum hudud zina:
“(Bermula ) zina yang wajib [hukuman] had itu iaitu orang yang melazimkan hukum [mukallaf] lagi mengetahui dengan haramnya [berzina] dengan memasukkan hasyafah [forehead] atau kadarnya [sekiranya zakar yang tidak mempunyai hasyafah] dengan faraj atau dubur yang haram bagi ‘ainnnya, lagi keinginannya pada tabiatnya [tidak dipaksa] dengan tiada syubhah…….”
Syaikh Daud menyambung dengan menyebut pengecualian daripada hukum, yakni tidak sampai dihukum dengan hukum hudud tetapi ditakzirkan:
“Tetapi tiada thabit [hukum had] dengan tiada masukkan [zakarnya] ke dalam faraj seperti bergurau-gurau jua atau dengan di wati isterinya pada masa haidhnya dan puasa atau di wati [disetubuhi] pada dubur[2] [isterinya] atau diwati sahayanya yang ada suaminya atau yang di dalam ‘iddah atau sahaya itu mahramnya atau diwati dengan tergagah [dipaksa] atau dihalalkan oleh orang alim [seperti fatwa ulama shiah tentang nikah mut'ah] atau diwati orang mati atau akan binatang, maka tiada [dilaksanakan] hukum had pada segala perkara itu” [m/s 300-301]
2-Syaikh Daud Abdullah al-Fatani di dalam kitabnya Fathu al-Mannan
[3] yang merupakan terjemahan kepada kitab Safwatu az-Zubad menyebu dengan jelas yang hukum hudud qazaf meliputi tuduhan liwat: Dan wajib atas melontar
[4] dengan liwat dan zina* didera dulapan puluh bagi orang yang hurr
[5] dan muhsana*
dan bagi sahaya setengah ketahui engkau orang yang muhsana* iaitu orang mukallaf yang Islam lagi merdeheka tiada berzina*
dan jika berdiri baiyyinah atas yang kena tuduh atas berzinanya* gugurlah seperti adalah benar bagi tuduh atau dimaafnya*
(Dan wajib) atas orang yang menuduh akan seseorang semada laki-laki atau perempuan dengan liwat atau dengan zina seperti dikatakan “zanaita”, “latta” [yang bermaksud] zinah engkau, atau diliwat engkau atau “lat” bagi fulan , telah liwat dengan dikau sianu atau “ya zani” atau “ya la it”, dan yang menuduh itu orang mukallaf lagi dengan ikhtiarnya , yang bukan usulnya [yang membuat tuduhan bukan ayah atau datuk], maka tiada dihadkan [tiada dihukum dengan hukuman had] kafir atau kanak-kanak dan orang gla atau jahil ia akan haramnya sebab baharu masuk Islam atau jauh daripada ulama’ atau tergagah [dipaksa] .
3-Syaikh Muhammad Ismail al-Fatani di dalam kitab Matla u’ al-Badraini menyebut:
(Bermula hukum liwat) seperti hukum zina iaitu dihadkan dia yakni direjamkan dia jika ada ia muhsan, dan dipukul dan didagangkan [buang daerah] akan dia jika tiada muhsan , atas yang mazhabnya [yakni mazhab Imam as-Syafi'ie] ialah yang mu’tamad-nya dan muqabalah-nya [yang tidak mu'tamad] bahawa sanya dibunuh akan dia mutlaqan[apa cara sekalipun], dan kaifiyyat membunuh akan dia itu beberapa wajah, salah suatunya dibunuh akan dia dengan pedang, dan keduanya direjamkan dia dan ketiga dirobohkan jidar [dinding] atasnya atau dicampakan dia daripada tempat yang tinggi, {hukuman bunuh] ini pada fa’il [pelaku] yakni yang meliwatnya, adapun yang kena liwat, maka dipukulkan dan didagangkan akan dia, jika ada ia mukallaf lagi taat [dilakukan secara rela] ia akan dia semada ia muhsan atau tiada, semada laki-laki atau perempuan , jika tiada mukallaf atau yang digagahi[ dipaksa] akan dia maka tiada dihadkan atasnya, maka makna liwat itu [ialah] wati pada dubur laki-laki , jika pada dubur sahaya yang laki-laki sekalipun, atau pada dubur perempuan . Dan wajib had padanya [kesalahan ini] pada yang lain daripada [meliwat] isterinya dan sahaya yang perempuan (m/s 195)
Syaikh Muhammad Ismail menyebut dalam bab Qazaf dalam kitab ini:
(Dan tertegah) maqzuf yakni orang yang dituduhkan dia daripada bersumpah kerana bahawa sanya harus bagi qazif yakni yang menuduh ia suruh maqzuf bersumpah atas ketiadaan berzinanya dan jika serta kuasanya atas baiyyinah sekalipun
[6], pada [pemahaman] kebanyakan ulama maka [jika] bersumpah maqzuf , dihad-kan qazif dan jika tiada bersumpah maqzuf gugurlah had qazif (m/s:196)
4-Tuan Tabal, Syaikh Abdul Samad Soleh al-Kelantani dalam kitabnya Minhatu al-Qarib[7] menyebut:
(dan bermula) hukum liwat (yakni) wati pada dubur orang lain daripada isterinya, ini seperti hukum zina juga atas qaul yang mu’tamad (adapun liwat) pada isteri atau sahaya perempuannya maka ditakzirkan dia jua jika berulang-ulang, jika tiada berulang-ulang maka tiada ditakzirkan padanya (m/s 215)
5-Syaikh Ahmad Bin Muhammad Zain al-Fatani menyebut dalam kitabnya ‘Unwanu al-Falah, tentang perlaksanaan hukum hudud atasjenayah zina dan liwat, serta syaikh memilih salah suatu qaul daripada menyatakan hukuman liwat:
Dan disyaratkan pada wajib had itu taklif maka tiada dihad-kan kanak-kanak dan orang yang gila bahkan dita’dibkan keduanya (dan hukum) liwat [sama dengan] hukum zina. Dan orang yang dikerjakan [ orang yang kena liwat] pada duburnya itu had-nya jild [sebatan] semada muhsan atau tiada (m/s 75)
6- Syaikh Muhammad Ismail al-Fatani dalam kitabnya Kasyafu al-Litham menyebut dalam bab Qazaf:
(Furu) Harus yang menuduh itu menuntut akan yang kena tuduh itu suruh bersumpah atas tiada ia [orang yang kena tuduh] berzina , dan jika enggan ia [orang yang kena tuduh] daripada bersumpah gugurlah hadnya [had qazaf atas yang menuduh], dan jika bersumpah ia [orang yang kena tuduh]. Dihad-kan dia [yang menuduh] [inilah] kata kebanyakan ulama’, tiada didengarkan dakwa dengan zina dan bersumpah ia atas menafikan dia melainkan pada masaalah ini jua seperti kata dalam [kitab] Syarah Raudah[8]
Dalam persoalan yang lebih menjurus dicatitkan:
(Furu) Ditanya akan [Imam} Ramli daripada seorang yang mendakwa ia atas seorang yang lain bahawa sanya ia [yang kena tuduh] liwat dengan dia, maka engkar ia [yang kena tuduh], maka adakah [perlu] bersumpah ia [yang kena tuduh] yakni menuntut suruh bersumpah , dan apabila kamu kata tiada disumpahkan dia [yang kena tuduh enggan bersumpah], maka apabila tiada didirikan baiyyinah [saksi dan bukti yang secukupnya] dihad-kan dia [yang menuduh] yakni akan orang yang mendakwa itu? Apabila maaf maqzuf [orang yang kena tuduh] itu daripada [dilaksanakan hukum] had [ke atas yang menuduh], maka adakah bagi qazif tuntut suruh bersumpah akan dia atau tiada?
Dan maka jawab ia dengan bahawa sanya ia [yang menuduh] iqrar atas dirinya dan menuduh ia[ yang menuduh] akan di fa’il [yang dituduh sebagai pelaku] , maka [ dalam keadaan ini] jika menuntut ia [yang kena tuduh] akan had qazaf-nya [terhadap yang menuduh], niscaya adalah baginya[yang kena tuduh] menyumpahkan [bersumpah] dia atas nafi liwatnya [meliwat si penuduh], dan jika [sekiranya ] tiada menuntut ia [yang kena tuduh] akan [hukuman] had-nya [dilaksanakan ke atas yang menuduh] maka tiada boleh dituntut bersumpah. (m/s:369)
Syaikh Muhammad Ismail menyebut ‘rational’ fatwa ini dalam kitabnya yang sama:
Bermula orang yang mendakwa itu orang yang mukhalafah [menyalahi] oleh [dengan perkataan] katanya akan zahir dan mudda’a ‘alahi [orang yang kena dakwa] itu orang yang muafakat akan yang zahirnya m/s: 455
8. Sayaikh Daud Abdullah al-Fatani dalam kitabnya Furu al-Masail mencatitkan persoalan yang sama:
(Soal radiyyallahu ‘anhu ) daripada seorang dakwa atas seorang [yang lain] bahawa ia liwat, maka engkar ia [yang kena tuduh], adakah ia [yang kena tuduh] bersumpah atas ketiadaannya [melakukan liwat tersebut] ? Dan jika kita kata tiada [kewajiban] atasnya bersumpah , makajika tiada [pula] didirikan baiyyinah [oleh yang menuduh] adakah didirikan [dilaksankan hukuman] had atas mudda’ie ? Dan apabila memaafkan oleh yang kena tuduh daripada hadnya [hukuman ke atas yang menuduh kerana qazaf], maka adalah bagi yang menuduh suruh ia bersumpah?
(Maka dijawabnya) bahawa sanya ia mengaku atas dirinya [diliwat] dan menuduh ia bagi yang berbuatnya dengan dia [yang menuduh], maka jika menuntut [ oleh yang kena tuduh] akan dia [yang menuduh] dengan [dikenakan] had qazaf , harus ia [yang menuduh] menuntut suruh [yang kena tuduh] bersumpah atas menafikan liwatnya, manakala dimaafkan daripadanya [tiadalah dilaksanakan hukum had ke atasnya], dan jika tiada [menuntut hukum had qazaf ke atas yang menuduh] maka tiadalah boleh ia menuntut suruh ia bersumpah[9]. (m/s:323)
9-Syaikh Abdul Rauf Singkel dalam kitabnya Mira atu at-Tullab menyebut:
Bermula wajib had zina itu atas orang yang menetap [mukallaf] bagi segala hukum Islam lagi tahu ia akan haramnya dengan sebab memasukkan hasyafah atau kadarnya [bagi yang tiada hasyafah] ke dalam faraj semada faraj itu qubul atau dubur dan semada ia daripada lelaki atau perempuan dan adalah faraj itu faraj yang diharamkan ia kerana ‘ainnya lagi yang keinginannya pada tabiat yang sejahtera dan adalah masuknya itu dengan tiada syubhah dan ada yang empunya faraj itu diupah lagi menghalalkan dirinya atau mahramnya sekalipun. (m/s:447)[10]
Lihat bagaimana keatanya syarat baiyyinah bagi menthabitkan perbuatan zina yang dijatuhkan hukuman hudud, Syaikh Abdul Rauf menyebut dalam kitab yang sama:
(Soal) jika bertanya seorang apabila naik saksi orang yang diqabulkan [diterima] saksinya [kesaksiannya] padahal kurang daripada empat orang akan zina seorang, adakah thabit zina dengan dia [orang yang dituduh] atau tiada, maka apabila tiada thabit dengan dia [kesaksian yang tisak cukup empat orang] [kesalahan] zina adakah wajib atas sekelian saksi had atau tiada
(Jawab) tiada thabit zina dengan dia dan wajib atas sekelian saksi itu [hukuman] had supaya jangan jatuh pekerjaan [practice] itu membinasakan hormah [kehormatan/maruah] manusia dengan rupa saksi. Dan demikian lagi jikalau naik saksi akan zina itu sekelian perempuan atau segala sahaya atau ahli az-zimmi , niscaya wajib [hukuman] had atas mereka itu kerana bukan mereka itu ahlu as-syahadah (yakni) yang bukan patut akan [menjadi] saksi (m/s 450)
10-Syaikh Muhammad Nur Bin Ismail al-Fatani dalam kitabnya Kifayatu al-Mubtadi menyebut:
(Dan) hukum (liwat) iaitu memasukkan hasyafahnya atau kadarnya (pada) dubur (lelaki) dan jika sahayanya atau pada dubur perempuan yang bukan isterinya atau gundiknya [sahaya perempuannya sama dengan] (hukum zina) maka direjamkan fa’il yang muhsan dan dipukulkan yang tiada muhsan dan didagangkan dia [dibuang daerah] sepeerti yang telah lalu sebutnya. Adapun yang kena perbuat maka dipukulkan dan didagangkan dia semada muhsan atau tiada, maka iaitu atas mazhab, maka ialah yang mu’tamadnya pada [hukuman] liwat dan muqabalahnya [pendapat yang tidak mu'tamad dalam mazhab] dibunuhkan fa’il-nya dan kaifiat membunuhkan dia itu bersalah-salahan padanya, kata setengahnya dengan pedang dan kata setengahnya direjamkan dia dan kata setengah dirobohkan jidar atasnya dan kata setengah dicampakkan akan dia daripada puncak gunung yang tinggi[11] m/s 310-311
11-Dalam Kitab ‘Umdatu as-Salik , sebuah kitab feqah mazhab Imam as-Syafi’ie berbahasa arab, karangan Syaikh Ahmad Ibn Naqib . Terdapat edisi kitab ini yang dibuat ta’liqat oleh Syaikhuna Nuruddin al-Banjari. Kitab ini juga telah diterjemaholeh Syaikh Nuh Hamim Keller ke dalam bahasa inggeris dengan baik sekali. Terjemahan yang saya fahami adalah lebih kurang:
Apabila membuat tuduhan (qazaf) oleh seorang yang baligh, beraqal dan dengan pilihannya [tidak dipaksa] sedangkan dia seorang muslim, atau seorang zimmi atau seorang yang murtad atau seorang kafir yang diberi jaminan keamanan terhadap seorang yang muhsan, bukan anak kepadanya dengan tuduhan zina atau liwat dengan jelas [sarahah] atau dengan simbolik [kinayah] beserta dengan niat maka dikenakan hukum had
Khulasah
Jelaslah dalam matan-matan kitab yang telah dirujuk menunjukkan hukuman hudud bagi jenayah liwat adalah di bawah bab jenayah zina dan hukumannya sama bahkan lebih berat. Sementara tuduhan zina ke atas seorang yang muhsan membawa kepada jenayah qazaf, sudah tentu tuduhan liwat, yang disebut oleh Imam al-Mawardi yang liwat itu adalah perlakuan yang lebih dahsyat daripada zina itu juga diambil kira sebagai qazaf.
Sementara jika ada seorang yang mengaku dirinya diliwat tanpa mendatangkan baiyyinah atau qarinah yang diiktiraf syara’ ,sedangkan orang yang kena tuduh itu pula menafikan tuduhan tersebut dan dia meminta kepada qadi agar orang yang menuduh itu didakwa sebagai orang yang melakukan qazaf. Dan orang yang menuduh itu kerana menguatkan hujjahnya, dia meminta qadi memerentah orang yang kena tuduh itu bersumpah menafikan yang dia telah meliwat orang yang menuduh. Maka apabila orang yang kena tuduh itu bersumpah maka orang yang menuduh itulah yang dijatuhkan hukuman had qazaf.
Sekiranya orang yang menuduh itu mempunyai baiyyinah atau qarinah, sepatutnya dia menthabitkan jenayah orang yang kena tuduh itu dengan menggunakan baiyyinah dan qarinah tersebut, jangan diminta qadi memerentah orang yang kena tuduh bersumpah, kerana sekiranya orang yang dituduh itu bersumpah menafikan yang dia meliwat orang yang menuduh, maka hukuman had qazaf jatuh ke atas orang yang menuduh. Itulah kefahaman kebanyakan ulama dalam mazhab Imam as-Syafi’ie. Ini kerana apabila dia meminta qadi memerentah orang yang kena tuduh bersumpah, implikasi undang-undangnya ke atas orang yang membuat tuduhan ialah dia mesti menerima butiran sumpah yang dibuat oleh orang yang kena tuduh
Bagaimana pula sekiranya orang yang membuat tuduhan itu tidak mempunyai baiyyinah atau qarinah yang diiktiraf oleh syara’ dan mendesak agar orang yang kena tuduh bersumpah? Tidakkah dia takut kepada hukuman lapan puluhan sebatan thabit ke atas zimmahnya, serta dia akan dikira sebagai seorang yang pembohong di sisi hukum syara’. Mengikut Imam as-syafi’ie dan sebahagian ulama yang lain, sekiranya orang yang melakukan qazaf ini bertaubat sekalipun, maka taubatnya itu di antara dia dan Allah, dari segi perlaksanaan hukum syara’ dia dikira sebagai ‘fasiq’ sampai bila-bila.
Begitulah perincinya hukum Islam, alhamdulillah keperincian perbincangan hukum itu juga dikupas oleh ulama-ulama jawi dalam kitab-kitab mereka. Kita diwariskan dengan khazanah ilmu yang sangat bernilai dan mendalam sifatnya, rugilah bangsa yang tidak tahu menilai warisan sendiri serta dalam kejahilan mereka itu pun , mereka sanggup memandang orang tua mereka sebagai orang yang tidak memahami Islam yang luhur dan lengkap-melengkapi sebagaimana yang mereka faham sekarang. Aduhai bangsaku, adakah ini nasib kita selepas 51 tahun merdeheka…..
Alhamdulillah selesai membuat catitan selepas zuhur satu Syawal 1429H. Ia diselesaikan dengan segala keterbatasan ilmu dan faham dan rujukan tetapi memandang dengan sangka yang baik terhadap ‘inayah dan taufiq dari Allah , semoga catitan ini memberi manafaat kepada pencatit yang serba kekurangan dan saudara-saudaranya yang mahu memahami dan menghayati kebenaran.
[1] Naskhah yang dirujuk dicetak Matba’ah al-Miriyyah pada tahun 1312 H. Alhamdulillah ianya adalah naskhah yang lengkap.
[2] Anal-sex yang didak dijatuhkan hukuman hudud itu ialah dengan isteri atau sahaya, bagaimanapun ditakzirkan
[3] Naskhah yang dirujuk dicetak di Matba’ah al-Miriyyah pada tahun 1330H. Matan Zubad diterjemah dalam bentuk puisi serta diikuti oleh syarah di dalam bentuk prosa. Sedang kitab asalnya yang berbahasa ‘arab ditulis oleh Syaikh Ahmad ibn Raslan dl-Dimasyqi.
[4] Melontar maksudnya menuduh
[5] Hurr orang yang merdeka-bukan sahaya
[6] Apabila sipenuduh meminta agar orang yang kena tuduh bersumpah, bererti dia mengiktiraf apa yang disumpah oleh orang yang kena tuduh.
[7] Naskhah yang dirujuk di cetak oleh Di. Ya Ikhwan
[8] Cetakan tahun 1345H
[9] Naskhah yang dirujuk cetakan Matba’tu al-Misriyyah pada 1307H
[10]Siap ditulis pada tahun 1184H. Naskhah yang dirujuk dicetak di Matba’atu Ummu al-Qurra pada tahun 1309H.
[11] Naskhah yang dirujuk cetakan Dar al-Maarif, Pulau Pinang (t.t)

No comments:

Post a Comment