Jawatan apa yang disasarkan oleh Zaid Ibrahim semakin hari semakin jelas. Jika diperhatikan cara beliau berkempen matlamatnya ialah untuk menjadi orang nombor satu dalam PKR. Hasrat ini tidak cuba disembunyikannya apabila menulis dalam blognya:
“Lagipun jawatan Timbalan itu sebenarnya tidak ada kuasa. Nombor Dua dalam politik Malaysia ini hanya untuk glamour dan nama saja, tidak ada lah banyak kuasa sangat.
“Apa lagi dalam Keadilan, Nombor Satu pun tak ada kuasa seperti Ketua Umum, jawatan yang tidak boleh ditandingi. Jadi, saya tidak faham riuh-rendah pasal jawatan Nombor Dua ini.”
Sebagai orang yang mendakwa sudah matang dan faham politik PKR Zaid tentu tahu mengapa jawatan Ketua Umum diwujudkan. Pada pemilihan parti 2007 Anwar menolak pencalonan jawatan presiden kerana dilarang oleh undang-undang memegang jawatan politik parti selepas pembebasannya.
Namun parti memerlukan khidmatnya. Sebab itu jawatan Ketua Umum diwujudkan. Berkat langkah ini, Anwar berhasil memimpin pemuafakatan PKR, DAP dan PAS menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional.
Dalam pemilihan kali ini pun Anwar enggan menerima pencalonan menjadi presiden. Sebabnya juga jelas. Beliau menghadapi satu lagi konspirasi politik. Kali ini beliau difitnah dan didakwa liwat Saiful.
Rekod sistem kehakiman Negara menunjukkan bahawa bersalah atau tidak, berkemungkinan besar Anwar akan dipenjara sekali lagi. Jika Anwar terima jadi Presiden PKR, dan fitnah itu menjadi, bererti PKR akan kehilangan presidennya.
PKR lahir dalam keadaan politik luar biasa. Oleh itu, cabaran yang dihadapinya juga luar biasa. Yang menjadi sasaran musuh PKR dan Pakatan Rakyat ialah Anwar Ibrahim. Oleh itu adalah wajar tindakan politik agak luar biasa diambil. Bagi memastikan serangan dan konspirasi terhadap Anwar mempunyai impak terhad terhadap PKR dan Pakatan Rakyat, adalah munasabah jawatan Ketua Umum disandangkan ke bahu Anwar.
Tambahan pula memang demikian amalan Pakatan Rakyat. Tuan Guru Nik Aziz jadi Mursyidul Am PAS. Beliau banyak menegur dan amat berpengaruh terhadap hajatuju Pas. Tidak perlu beliau jadi presiden untuk turut memimpin PAS. Begitu juga dengan peranan Lim Kit Siang dan Karpal Singh dalam DAP. Dalam parti itu, orang berkuasa eksekutif nombor satu ialah Setiausaha Agung. Sumbangan dan pengaruh Kit Siang tidak perlu mewajibkan mereka jadi Setiauasaha Agung.
Tentu Zaid faham sifir ini. Jika tidak dia tidak layak jadi Timbalan Presiden. Soalnya, dalam menjawab apa yang disebutnya tohmahan terhadapnya dalam kempen hendak jadi Timbalan Presiden, Zaid guna dua pendekatan.
Pertama, pura-pura mengatakan jawatan Timbalan Presiden tidak ada kuasa. Jika benar demikian, kenapa beria-ia sangat menawarkan diri hendakkan jawatan itu. Tidakkah matlamat Zaid jelas. Dia hendak jadi orang nombor satu. Sebab itu, beliau cadangkan Anwar tanding jawatan Presiden dan beliau tanding Timbalan. Jadi kalau Anwar kena penjara, secara automatik Zaid jadi pemangku jawatan Presiden.
Kedua, Zaid serang Anwar dengan sindiran pedas. Caranya ada dua. Satu, timbulkan persoalan kenapa Anwar tidak “berani” bertanding jawatan presiden dan terus mahu jadi Ketua Umum dengan mengatakan jawatan itu tidak boleh ditandingi tetapi mempunyai kuasa dalam parti.
Matlamatnya, supaya ahli PKR mulai mual dan kurang menghormati serta mengkaburi langkah politik Anwar dan kenapa jawatan Ketua Umum itu diwujudkan.
Kedua, Zaid gerakkan jentera medianya untuk meremehkan pendirian Anwar dalam proses pemilihan kali ini. Ragam dan tabiat portal berita Free Malaysia Today yang jelas menyokong Zaid, tidak henti-henti menyerang Anwar.
Rabu lalu, portal ini buat laporan dengan tajuk “Anwar to campaign for Azmin in Sabah?”. Berita ini ditulis oleh pasukan FMT sendiri. Sumbernya? Seorang penulis blog, Haris Hashim. Kandungannya? Tiada yang baik tentang kunjungan Anwar ke Sabah selain berkempen untuk Azmin. Nyata laporan ini berat sebelah dan tidak bertanggungjawab.
Siapa pemilik blog ini? Seperti pernah dilaporkan, apabila blog ini muncul dan soalan ini ditanya, jawapan yang diberikan ialah, Zaid Ibrahim. Jika tidak percaya Tanya kakitangan FMT sendiri. Mereka boleh jawab berapa kali Zaid ke pejabat FMT dan editornya, Kabilan dan wartawan upahannya, Zahari Ali dipanggil “menghadap Zaid” untuk terima arahan.
Kini Zaid kata jawatan Timbalan Presiden yang hendak ditandinginya tidak ada kuasa. Tapi dia hendak tandinginya juga. Bukankah ini berpura-pura namanya? Zaid juga kata beliau yakin pada demokrasi dan mahu pemilihan yang bersih. Tetapi FMT miliknya digunakan untuk serang Anwar Ibrahim.
Zaid berkira jika Anwar boleh diperkecilkan, siapalah Azmin Ali yang akan menjadi saingannya untuk jawatan “..Timbalan itu sebenarnya tidak ada kuasa. Nombor Dua dalam politik Malaysia ini hanya untuk glamour dan nama saja, tidak ada lah banyak kuasa sangat.’ Telunjuk lurus kelingking berkait. Itu taktik Zaid – berpura-pura.
No comments:
Post a Comment