Monday, September 27, 2010

Syed Husin nyanyuk atau Zaid yang mabuk?

Lazimnya seseorang akan menzahirkan keperibadian sebenarnya apabila beliau dalam keadaan tertekan. Itulah yang berlaku kepada Datuk Zaid Ibrahim, apabila beliau melabelkan Syed Husin Ali sebagai nyanyuk dan kemudian nyanyu.    
Nyanyu mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka membawa maksud merepek. Kita sedia maklum erti nyanyuk. Apa pun kedua-dua ungkapan itu  selalunya diguna untuk menggambarkan seseorang itu kurang waras atau hilang akal pemikirannya.
Dengan pemilihan Parti Keadilan Rakyat semakin rancak, dan beliau agak  ketinggalan dalam  jumlah pencalonan dari Cabang,  Zaid melepaskan geram terhadap Syed Husin – orang yang beliau sedang cuba menggantikan sebagai Timbalan Presiden Parti.
Zaid tidak pernah mempunyai rekod yang baik apabila merasakan dirinya  tertekan. Rekodnya dalam Umno dan kemudian dalam PKR menzahirkan hakikat ini. 
Di dalam Umno, beliau terbabit dalam pergaduhan semasa pemilihan Umno peringkat Bahagian. Kemudian beliau bertindak untuk terus meninggalkan parti itu apabila menyedari idea-idea yang dibawanya semakin ditolak oleh Umno.
Daripada cuba membawa pembaharuan yang dicanangnya menerusi  kedudukan beliau di dalam Kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi,  Zaid sebaliknya merasa  tertekan dan terus meninggalkan Umno untuk bertandang ke PKR.
Ditolak oleh PAS kerana cuba megheret parti itu ke mahkamah bersabit pelaksanaan undang-undang hudud ketika beliau dalam Umno,  Zaid memilih untuk menyertai PKR kerana takut hilang identitinya sebagai pemimpin Melayu jika menyertai DAP.
Zaid juga  arif tentang betapa tipis peluangnya  untuk menjadi pemimpin kanan DAP dalam tempoh singkat, berbanding ruang yang ditawarkan oleh PKR.
Ahli Biro politik, calon PKR (tapi tewas ) dalam PRK Hulu Selangor, Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dan kini pesaing  untuk jawatan Timbalan Presiden walaupun belum cukup dua tahun belia menyertai PKR ....Zaid tidak boleh mendakwa kepimpinan parti  cuba mencantas beliau.  
Jauh daripada berterima kasih kepada Syed Husin kerana memberi laluan kepada beliau dan pemimpin lain bersaing untuk  mengambil alih jawatan itu, Zaid memilih untuk mengkritik keperibadian tokoh veteran itu secara terbuka.
Saya kata terbuka...kerana “secara tertutup,”  di dalam perbualan dengan pelbagai pihak ketiga,  Zaid dan konco-konconya,  Datuk John Soh Chee Wen dan Nelson Fernandez  telah menggunakan kata-kata yang jauh lebih biadap daripada nyanyuk dan nyanyu terhadap Syed Husin Ali dan kepimpinan PKR lain.
Tanya sahaja editor Free Malaysia Today K. Kabilan dan rakan-rakannya mengenai rasa marah Zaid dan kawan-kawannya terhadap Anwar , Syed Husin, Chua Jui Meng, Wan Azizah, Sivarasa dan lain-lain apabila parti membuat keputusan yang tidak disukai oleh Zaid dan konco-konconya.
Biar apa pun,  keterlanjuran Zaid menggunakan FMT untuk  melabelkan Syed Husin sebagai nyanyuk dan kemudiannya nyanyu atau merepek  menzahirkan keperibadian  sebenar Zaid.
Seperti masa beliau di dalam Umno,  Zaid  sekali lagi tidak dapat mengawal  emosinya dalam keadaan tertekan, dan sanggup menggunakan portal berita yang dibiayai oleh Soh Chee Wen untuk melemparkan ungkapan yang cukup mengaibkan terhadap  Syed Husin.
Tajuk “Syed Husin Nyanyuk dan Nyanyu”  di dalam FMT kemudian dipetik oleh portal dan media massa lain dan memalukan seorang tokoh politik yang telah banyak berjasa kepada parti.
Sikap dangkal dan keceluparan Zaid yang menyifatkan dirinya sebagai anak Melayu hanya menimbulkan rasa khuatir  mengenai zaman silam beliau.  
Serangan peribadi terhadap Syed Husin secara terbuka membawa persoalan sama ada mungkinkah Zaid di bawah pengaruh “arak” sehingga tergamak menggunakan ayat-ayat begitu kesat terhadap Syed Husin. Adakah arak ini adalah “kuasa” yang diidamkan oleh Zaid?
Adakah keceluparan Zaid ini didorong oleh mabuk kuasa?
Tidak ada siapa akan tahu minda Zaid.  Namun rumusan yang boleh dibuat ialah besar kemungkinan Zaid  mamai dalam khayal arak kuasa ketika wartawan menelefonnya bertanyakan mengenai  Syed Husin.
Ini kerana tidak ada ahli politik yang mencanang diri  sebagai berprinsip, bermoral, tak tinggalkan sembahyang dan rendah diri akan mengaibkan seorang tokoh veteran politik yang telah keluar masuk penjara demi masa depan negara dan kini hanya mahu berundur secara “diam-diam.”.
Tidak ada ahli politik akan tergamak melakukan apa yang Zaid lakukan KECUALI  mereka khayal di bawah pengaruh  arak kuasa atau sesuatu yang lebih meloyakan.    
Tindakan Zaid  menafi bahawa beliau kononnya tidak menuduh Syed Husin sebagai nyanyuk tetapi hanya nyanyu dilihat cubaan terdesak untuk mempertahankan dirinya.
Tidak banyak beza dalam maksud nyanyuk dan nyanyu. Kedua-duanya adalah kritikan peribadi yang memualkan apabila diguna untuk menyerang insan seperti Syed Husin.                   
Apakah kesalahan Syed Husin, sehingga dilempar  dengan ungkapan sebegitu ketika beliau diambang akhir jangka hayat politiknya selepas menghabiskan lebih lima dekad dalam dunia  pembangkang yang penuh onak dan duri.
Dua belas tahun dari tempoh itu dihabiskan untuk bersama gerakan reformasi  dalam membela  Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membawa pembaharuan politik untuk Malaysia. Beliau sanggup menggabungkan  Parti  Rakyat Malaysia dengan gerakan reformasi untuk membuahkan PKR.
Zaid menuduh Syed Husin sebagai  lupa sejarah kerana kononya  memperkecilkan peranan beliau  dalam PKR dan Pakatan Rakyat. Sebenarnya Zaid tidak tahu langsung mengenai sejarah Syed Husin dan PKR sendiri yang penuh dengan pengorbanan.
Dalam  keghairahan untuk  mengejar jawatan,  Zaid pantang dikritik dan sering menganggap dirinya lebih pandai dan berkebolehan daripada pemimpin lain.
Justeru,  beliau tidak nampak keperluan untuk menghadiri mesyuarat biro politik atau mesyuarat-mesyuarat lain dalam parti, kononnya atas alasan beliau lebih suka berjumpa dengan akar umbi parti.
Apakah Zaid akan hadir pada mesyuarat pimpinan PKR hanya jika dilantik menjadi Timbalan Presiden? Apakah setelah dilantik  menjadi Timbalan Presiden,  tiba-tiba semua  pemimpin lain akan menjadi “pandai” dan “layak” untuk duduk semeja dengan beliau?
Tentunya pandangan ini serong dan tidak masuk akal namun itu nampaknya pegangan Zaid.
Tanpa menamakan Zaid, itulah teguran yang dibuat oleh Syed Husin, bahawa seorang pemimpin harus hadir mesyuarat dan menjadi sebahagian daripada proses untuk menggerakkan parti ke depan.
Mesyuarat adalah forum terbaik untuk melontar dan membahaskan idea dan bukannya mengkritik parti daripada luar.
Daripada menerima teguran itu secara baik dan dengan hati terbuka, sesuai dengan ciri-ciri anak Melayu,  Zaid memilih untuk menyerang Syed Husin secara kesat dan biadap, sekali gus memperlekehkan mereka yang seangkatan dengan Syed Husin dalam membangunkan PKR  untuk warisan generasi akan datang.
Syabas Zaid.  

No comments:

Post a Comment