Yang menarik mengenai kumpulan yang mahu mengambil alih kuasa dalam PKR ialah mereka yang berada di luar barisan pimpinan. Ini bukan bererti mereka tidak tahu menggunakan orang dalam untuk merampas kuasa tetapi fasa itu telah dicuba tetapi gagal.
Pada awalnya kumpulan ini mengenal pasti beberapa pemimpin berpotensi untuk ditaja. Dengan sokongan kewangan pemimpin-pemimpin ini dihulurkan dengan pelbagai maklumat dan hujah supaya kelihatan cerdik dan boleh mempengaruhi bukan sahaja rakyat jelata tetapi pimpin tertinggi dalam parti.
Cara ini berhasil meletakkan beberapa muka diberi kepercayaan memegang jawatan penting dalam parti. Melalui prasarana parti sendiri, kumpulan ini menggerakkan pemimpin upahan mereka itu untuk mempengaruhi halatuju parti.
Nasib baik PKR tidak ketandusan pemimpin yang mempunyai akal budi yang luhur dan tinggi. Kemaraan idea dan ideologi soldadu upahan ini secara lumrah bersilang pandangan dengan pemimpin-pemimpin sejati parti. Sebab itu sering terjadi pertembungan idea dan perbalahan dalam parti.
Apabila pemimpin upahan ini kalah hujah atau dalang mereka dapat dilondehkan, mereka bergegas keluar parti. Ada yang terus menghilangkan diri tetapi ada yang menyalak dari luar memburuk-burukkan parti, khususnya Anwar Ibrahim.
Oleh itu, kumpulan yang menyusun konspirasi ini terpaksa bertindak sendiri. Semua sokongan moral dan juga kewangan ditarik balik dan menyusun pula mereka yang telah terpelanting dari medan kepimpinan parti untuk meneruskan serangan terhadap parti. Ingat lagi tak usaha hendak tubuhkan secretariat untuk ahli-ahli parlimen bebas? Ia masih bergerak sebab penajaan masih berjalan.
Apabila pemikiran mereka tidak mudah ditelan oleh pimpinan parti, kumpulan ini terpaksa berhadapan sendiri dengan pimpinan kanan parti. Pun mereka sering kalah hujah. Akhirnya, mereka pun menggerakkan plan B dengan menggunakan media mereka yang telah disusun rapi sebelum ini untuk menyerang kepemimpinan parti.
Hasil terbesar pelaburan mereka dalam bidang ini ialah apabila media arus perdana mula mengutip laporan portal ini yang memburukkan kepimpinan dalam isu seperti penggantungan 12 pemimpin PKR Sabah kerana berusaha tubuh parti cinta sabah kerana calon sokongan mereka tidak dipilih untuk memimpin PKR Sabah.
Kini jelas siapakah mereka di luar parti tetapi berusaha menggunakan kekuatan kewangan mereka untuk membeli hak untuk menerajui PKR. Proses pemilihan parti kali ini benar-benar melontarkan mereka di tengah gelanggang. Dan, mereka tidak dapat menyembunyikan wajah dan niat sebenar.
No comments:
Post a Comment