Monday, September 27, 2010

Konspirasi Media (2)

Konspirasi memang asam garam politik. Tetapi dalam kes politik Malaysia paling banyak konspirasi politik disasarkan kepada Anwar Ibrahim dan PKR pimpinannya. Yang menariknya bukan sahaja konspirasi ini digerakkan dari luar parti, malah ia menyelinap ke dalam parti.

Soal ada konspirasi untuk menjatuhkan Anwar dan PKR dari luar parti memang mudah difahami. Sebab jika Anwar atau PKR tersungkur, tidak adalah Pakatan Rakyat. Jika PR berpecah, kekallah hegemoni Umno dan Barisan Nasional. Sebab itu macam-macam fitnah dihambur terhadap Anwar, penyokongnya, partinya dan juga negeri Selangor yang dipimpin oleh PKR.

Bagaimanapun konspirasi hendak jatuhkan Anwar dan PKR dari dalam kini semakin jelas. Menjelang pemilihan parti makin nyata kelihatan gerakan untuk jatuhkan Anwar dan ambil alih PKR dari dalam. Lebih menarik lagi bila gerakan ini mendapat simpati dan tajaan dari luar, khususnya Umno.

Strategi mereka mudah. Awal-awal lagi sudutkan Anwar hingga boleh lumpuhkan pengaruhnya. Caranya ialah secara terbuka hamburkan profil politik calon-calon yang mahu bertanding. Pilih yang hendak dicantas dan labelkan mereka sebagai orang Anwar. Penjenamaan ini sekaligus akan member gambaran betapa Anwar tidak berkecuali; justeru tidak demokratik; dan, menuju kea rah autokratik.

Langkah ini dipilih untuk yakinkan ahli parti bukan Melayu betapa Anwar masih menghayati budaya Umno. Kononnya Anwar mahu kroni – hampir semua Melayu – menguasai parti. Sebab itu, tempat yang paling mudah menyebar benih kebencian terhadap rasisme Anwar ialah di Sabah dan Sarawak.

Sebab itu, kumpulan ini bermati-matian mahu hidupkan isu remeh temeh politik Sabah dan Sarawak. Walaupun pemimpin-pemimpin PKR berusaha menangani sebarang isu di kedua-dua negeri ini seberapa baik dan telus mungkin, kumpulan ini berusaha menyemarakkannya sebagai isu hidup-mati PKR.

Cara sebar propaganda ini nyata. Kumpulan ini memang sudah lama menyediakan peralatan  dan jentera fitnah mereka. Mereka juga mengatur wartawan di dalam beberapa portal berita masuk dalam senarai penembak curi mereka. Kemudian mereka kumpulkan beberapa wartawan lain yang mahir pelbagai bahasa dalam portal yang mendakwa bebas Free Malaysia Today.

Apa yang tidak boleh ditulis dalam portal ini akan didedahkan portal-portal berita lain seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider. Di samping itu mereka juga mengupah blogger tertentu untuk membuat pelbagai komentar hal ehwal parti. Jadi dengan sokongan kewangan yang cukup besar mereka mampu menguasai beberapa portal untuk secara serentak melakukan serangan dari pelbagai sisi terhadap Anwar Ibrahim dan PKR.

Apakah tema yang mereka gunakan? Siapakah yang menentukan peluru yang hendak digunakan? Siapakah mereka yang diperalatkan di dalam parti dan siapa pula yang menjadi dalang di luar parti?

No comments:

Post a Comment