Friday, October 8, 2010

Kenyataan Media

Kenyataan Media
Membalas dakwaan paksaan oleh Rahimi Osman
7 October 2010

Saya sekeras-kerasnya ingin menyatakan bahawa saya pada bila-bila masa pun, tidak pernah menggunakan sebarang bentuk paksaan atau pengaruh yang tidak sepatutnya ke atas Rahimi Osman, dalam hubungannya terhadap akuan bersumpah yang ditandatanganinya.

Pada waktu-waktu yang tersebut, saya merupakan salah seorang peguam yang ditugaskan untuk menyediakan keterangan saksi dari beberapa orang saksi-saksi berpotensi, suatu amalan yang menjadi lumrah dalam mana-mana pembelaan perundangan. Dalam beberapa pertemuan saya dengan Rahimi, saya ditemani oleh seorang lagi peguam, Radzlan Jalaluddin bagi mengambil kenyataannya di ibupejabat parti di Tropicana. Kami menyediakan akuan bersumpah beberapa orang saksi termasuklah Rahimi yang menjadi amalan biasa pembelaan serta untuk kegunaan perlindungan saksi juga.


Akuan bersumpah ini disediakan kerana dalam kes-kes tertentu (seperti kes sekarang ini), terdapat kemungkinan para saksi atas apa jua sebab menukar keterangan mereka dan akuan bersumpah ini boleh digunakan sebagai hujah pembelaan terhadap kebarangkalian penukaran kenyataan saksi. Misalnya, dalam kes-kes terdahulu terhadap DSAI, beberapa orang yang terkait dengan DSAI di tahan secara tidak sah oleh pihak polis dan dikenakan deraan serta siksaan, maka akhirnya mereka membuat "pengakuan" dan memberi keterangan terhadap DSAI. Lihatlah kes Sukma Darmawan, Dr Munawar Anees dan Meor. Dalam kes-kes sebegini, akuan bersumpah ini boleh juga digunakan sebagai suatu bentuk perlindungan untuk saksi sekiranya berlaku kejadian yang menyalahi undang-undang itu.

Tuduhan Rahimi bahawa akuan bersumpahnya dipinda untuk memasukkan nama Dato Seri Najib Razak dan Datin Rosmah Mansor tanpa persetujuan dirinya merupakan suatu kenyataan yang tidak benar serta tidak berkredibiliti sama sekali. Ini kerana dalam kenyataannya sendiri kepada pihak polis di IPK pada tengahari 23.7.2008, dia mengesahkan bahawa dia tahu Saiful telah bertemu Najib dan Rosmah. Dia juga memberitahu polis, bahawa dirinya sendiri diambil oleh Mumtaz Jaafar, rakan karib Rosmah, bagi bertemu Rosmah dan Najib. Rahimi berkongsi maklumat ini dengan kami selepas diambil keterangan oleh pihak polis. Dia juga memberitahu polis tentang pertemuan Ezam Md Noor dan SAC Rodwan.

Selanjutnya penglibatan orang-orang tersebut dalam kes ini telah disahkan oleh keterangan Saiful Bukhari di mahkamah. Ezam Md Noor dan Mumtaz Jaafar telah dipanggil untuk pengecaman oleh Saiful. Najib juga telah mengakui kepada pihak media bahawa dia pernah bertemu Saiful saat dia datang ke rumahnya.

Dakwaan bahawa kami mengurungnya di Hotel Quality adalah sangat tidak benar dan amat mustahil sama sekali. Dia berada di sana atas kerelaan dirinya sendiri pada setiap masa dan secara sukarelanya memberi kami maklumat bagi membantu kes DSAI.

Akuan bersumpah tersebut yang dengan secara sukarela ditandatanganinya merupakan sebahagian daripada hasil pertemuan kami dengannya dalam tempoh masa beberapa bulan, sewaktu persediaan sebelum perbicaraan, yang mana dia dipanggil untuk memperjelas atau membantu dalam hal berkaitan fakta-fakta sepanjang pengetahuannya.

Pada waktu-waktu tersebut, dia secara sukarela bekerjasama dan bertemu dengan para peguam bilamana dia diminta membantu. Meskipun dia sudah tidak lagi secara rasmi bekerja di pejabat DSAI, namun dia terus datang ke ibu pejabat parti atas berbagai tujuan dan kemudiannya dia juga ikut kempen parti dalam pilihanraya kecil.
Saya dengan sekeras-kerasnya ingin menegaskan bahawa pada setiap masa, perlakuan kami sebagai peguam adalah profesional dan Rahimi tidak pernah dipaksa atau ditekan dengan cara yang tidak sepatutnya seperti yang didakwa dirinya. Saya merasa amat hairan, secara tiba-tiba, setelah lebih dua tahun setengah, pada ketika ini baru dia mahu mendakwa ia dibuat secara terpaksa. Akuan bersumpah tersebut juga tidak pernah digunakan di mahkamah dan sepatutnya tidak harus dibuat isu (a non issue). 

Dakwaan Rahimi ini merupakan suatu fitnah dan berniat jahat serta merupakan gangguan terhadap parti dan para peguam DSAI. Saya sedang berunding dengan para peguam saya dan akan memelihara hak saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Rahimi.

Latheefa Koya

No comments:

Post a Comment