Nampaknya yang melantik diri menjadi juri dalam kes 12 pemimpin PKR di Sabah dikenakan tindakan disiplin kerana cuba menubuhkan sebuah parti politik baru sebab calon mereka, Jeffrey Kitingan tidak terpilih memimpin PKR Sabah ialah portal berita Free Malaysia Today.
Dengan bertopengkan tulisan seorang blogger, Haris Ibrahim, kakitangan FMT sengaja menghebohkan hujah dangkal dan tidak beretika blogger berkenaan untuk memburukkan pimpinan PKR; khususnya Anwar Ibrahim.
Keghairahan FMT ini amat menarik perhatian. Isu itu kini menjadi tumpuan FMT. Soal ada perjanjian damai di antara 12 penyokong Jeffrey Kitingan dengan pimpinan PKR sering diungkit. Seolah-olah tiada isu lain yang lebih besar yang patut dilaporkan dalam kolum Pakatan Rakyatnya. Ini menimbulkan banyak persoalan.
Mengapa soal Umno makin galak guna isu perkauman dan agama seperti cuba adudombakan istana Selangor dengan DAP berhubung kes kesucian masjid dan surau tercemar jika dikunjungi pemimpin bukan Islam, misalnya, tidak penting bagi portal itu? Yang menjadi tumpuannya ialah tetap 12 pemimpin PKR Sabah.
Jika benar ada perjanjian damai, mana buktinya? Perjanjian di antara siapa? Bila dan apa butirnya? Sedihnya bila ternyata Haris tersilap lapor dan ada kenyataan rasmi PKR yang membetulkannya, FMT langsung tidak menunjukkan tanggungjawab moral untuk membuat ralat.
Timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali berkata tidak benar hanya tiga daripada 12 digantung keahlian dan 9 lagi dibebaskan. Sebaliknya, kesemua 12 digantung keahlian sehingga siasatan selesai.
Kelihatan seolah-olah FMT sudah meniru perangai akhbar arus perdana, terutama Utusan. Cara dan gerak kerja sama – usah pedulikan fakta jika tidak menyokong hujah – dan matlamat pun sama – serang kewibawaan PKR, terutama Anwar Ibrahim.
No comments:
Post a Comment